Isnin, 22 Januari 2024 | 12:02pm
Anggota bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Banting-Dengkil dekat Sungai Manggis, pagi tadi. - Foto ihsan JNPM Selangor
Anggota bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Banting-Dengkil dekat Sungai Manggis, pagi tadi. - Foto ihsan JNPM Selangor

Dua maut, seorang cedera dalam kemalangan lima kenderaan

BANTING: Dua sekeluarga maut manakala seorang lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Banting-Dengkil dekat Sungai Manggis di sini, pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah seorang wanita berusia 40-an serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun manakala mangsa yang selamat adalah wanita berusia 20-an.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 7.03 pagi.

Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan Telok Panglima Garang bergegas ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan lima kenderaan yang mana sebuah lori melanggar empat kenderaan iaitu dua Honda City, sebuah Perodua Bezza serta sebuah lagi kenderaan yang tidak dapat dikesan.

"Lori berkenaan menghempap Perodua Bezza yang dinaiki tiga mangsa dan menyebabkan mereka tersepit.

"Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 8.45 pagi dan mengalami kecederaan di bahagian kaki.

"Dua lagi mangsa termasuk kanak-kanak perempuan pada jam 9.40 dan 9.45 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X