Jumaat, 19 Januari 2024 | 11:39pm
Seorang lelaki bertindak mengelar isterinya beberapa kali menggunakan pisau pemotong dalam kejadian di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhadapan sebuah kondominium di Kota Bayu Emas. - Foto viral
Seorang lelaki bertindak mengelar isterinya beberapa kali menggunakan pisau pemotong dalam kejadian di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhadapan sebuah kondominium di Kota Bayu Emas. - Foto viral

Suami kelar isteri sebelum kelar diri sendiri

KLANG: Akibat perselisihan faham, seorang lelaki bertindak mengelar isterinya beberapa kali menggunakan pisau pemotong dalam kejadian di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhadapan sebuah kondominium di Kota Bayu Emas di sini, tengah hari tadi.

Lelaki berusia 50 tahun itu kemudian ditemukan tidak sedarkan diri dalam kereta di lokasi berlainan dengan beberapa kesan kelar di badan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata pihaknya terdahulu menerima laporan daripada orang awam memaklumkan kejadian seorang lelaki menikam seorang wanita pada jam 1.41 tengah hari.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dan suspek adalah pasangan suami isteri warga tempatan.

"Siasatan mendapati, sekitar jam 1 tengah hari suspek bersama mangsa berusia 49 tahun menaiki kereta dalam perjalanan ke kedai makan dan berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum suspek memberhentikan kereta di bahu jalan.

"Suspek kemudian bertindak mengelar mangsa beberapa kali menggunakan pisau pemotong sebelum mangsa yang dalam keadaan ketakutan keluar dari kereta untuk meminta bantuan orang awam. Apabila sebuah kereta berhenti untuk memberikan bantuan, suspek terus melarikan diri dengan memandu kenderaannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat, kereta peronda Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan mengesan dan menjumpai kereta suspek di Jalan Batu Nilam 34, Bandar Bukit Tinggi di sini.

"Anggota polis mendapati suspek tidak sedarkan diri dalam kereta itu dan kemudian memecahkan cermin tingkap untuk membuka pintu kereta, sebelum menyelamatkan suspek dengan bantuan ambulans.

"Dalam kejadian ini, suspek dipercayai mencederakan diri sendiri dan mengalami beberapa luka kelar di bahagian badan, termasuk leher, bahu, tangan, kaki dan belakang badan. Beliau kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkannya kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta.

Berita Harian X