Jumaat, 19 Januari 2024 | 8:24pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

Wanita warga emas rentung di Kelana Jaya

PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas ditemui rentung dalam kebakaran rumah di Jalan SS 22/10, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata mangsa berusia lingkungan 60an dan terbakar kira-kira 80 peratus.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 3.46 pagi tadi.

"Susulan itu, sebuah kereta peronda polis (MPV) bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang wanita lingkungan 60-an yang terbakar kira-kira 80 peratus pada badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan lanjut selepas itu mendapati terdapat satu pemetik api dan botol berhampiran mangsa.

"Polis sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi, sama ada mangsa membakar dirinya atau ada unsur lain.

"Pada masa sama, kita juga akan memangiil saksi yang melihat insiden itu bagi membantu siasatan," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR). Satu kertas siasatan mati mengejut dibuka untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X