Jumaat, 19 Januari 2024 | 4:55pm
Seramai 27 PATI ditahan dalam serbuan di Pasar Borong Pandan. - Foto NSTP/Ihsan Jabatan Imigresen Negeri Johor
Seramai 27 PATI ditahan dalam serbuan di Pasar Borong Pandan. - Foto NSTP/Ihsan Jabatan Imigresen Negeri Johor

Imigresen Johor cekup 51 PATI di Pasar Borong dan pusat urut.

JOHOR BAHRU: Seramai 51 pendatang asing tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Negeri Johor dalam tiga serbuan berasingan di seluruh negeri ini pada semalam dan pagi tadi.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir, berkata dalam serbuan pertama seramai 112 warga asing diperiksa di 13 premis dekat Pasar Borong Pandan, di sini pada jam 11.40 pagi semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan 27 daripada mereka yang berumur 20 hingga 47 tahun ditahan, membabitkan 15 warga Bangladesh, Myanmar (8), Indonesia (3) dan India (1).

"Kesemua mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Manakala seorang warga Bangladesh di tahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu memberi kebenaran PATI untuk berada di dalam premis.

"Serbuan kedua dijalankan di Masai menerusi Ops Gegar yang berjaya menahan 23 warga asing sekitar jam 5.30 petang.

"Tangkapan dibuat membabitkan warga asing yang disyaki pekerja tukang urut di premis tersebut. Hasil siasatan mendapati kesemua yang ditahan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Kesemua mereka yang ditahan berusia 21 hingga 42 tahun adalah seramai 17 wanita Vietnam, wanita Indonesia (4) dan wanita Thailand (2). Turut dirampas enam set peralatan mengurut, 10 kondom, enam kad akses bilik dan wang tunai berjumlah RM2,275," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Baharuddin, serbuan ketiga dijalankan pihaknya di Pasar Borong Batu Pahat yang menahan seorang PATI warga Indonesia pada jam 4 pagi tadi.

"Lelaki berusia 33 tahun yang disyaki bekerja tanpa permit atau pas yang sah di salah satu premis, cuba melarikan diri ke arah sungai semasa operasi dilakukan namun berjaya dicekup semula di tebing sungai oleh anggota operasi.

"Individu yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia," katanya.

Berita Harian X