Khamis, 18 Januari 2024 | 7:07pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Polis tahan lelaki beronani atas motosikal

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai melakukan perbuatan onani di atas motosikal di Kota Damansara di sini, yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid, berkata susulan kenyataan media dikeluarkan pihaknya pada 16 Januari lalu, mangsa tampil membuat laporan berhubung kejadian itu jam 6.20 petang hari yang sama.

"Susulan itu, sepasukan anggota polis menahan lelaki berusia 23 tahun di sebuah apartmen di Damansara Damai, kira-kira jam 11 malam pada 16 Januari lalu.

"Polis turut merampas pakaian, selipar, kunci, cukai jalan motosikal, motosikal jenis Yamaha Y15Z. Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian awal air kencing negatif dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengesan rakaman video berdurasi 46 saat yang dimuat naik di aplikasi X memaparkan seorang wanita diganggu secara seksual pada 15 Januari lalu.

Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki menaiki motosikal melakukan perbuatan disyaki onani yang dipercayai berlaku di Kota Damansara.

Bagaimanapun, ketika itu tiada laporan polis diterima berhubung kejadian berkenaan.

Berita Harian X