Selasa, 16 Januari 2024 | 10:31am
Imigresen Johor menjalankan Ops Hijau di Iskandar Puteri. - Foto ihsan Imigresen Johor
Imigresen Johor menjalankan Ops Hijau di Iskandar Puteri. - Foto ihsan Imigresen Johor

9 warga asing ditahan dalam Ops Hijau di tapak semaian

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Johor menahan sembilan warga asing disyaki bekerja tanpa permit sah dan tinggal melebihi masa di Malaysia, dalam serbuan terhadap sebuah tapak semaian di Iskandar Puteri, di sini, semalam.

Ops Hijau kira-kira jam 10.40 pagi dijalankan pasukan dari Bahagian Penguat Kuasa jabatan itu selepas menerima aduan awam mendakwa terdapat warga asing bekerja tanpa pas atau permit di lokasi terbabit.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata 26 warga asing diperiksa dalam operasi itu sebelum enam lelaki dan seorang wanita warga Indonesia serta dua lelaki warga Myanmar berusia antara 28 hingga 48 tahun diberkas.

"Mereka ditahan kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi masa di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, seorang lelaki tempatan turut diberikan notis hadir ke pejabat Imigresen Johor bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Baharuddin berkata, pihaknya terus mempergiat penguatkuasaan dan operasi di lokasi panas sekitar Muar dan Mersing.

Beliau berkata, sembilan premis di Muar dan dua premis di Endau, Mersing, diperiksa dalam Ops Sapu, Ops Belanja, Ops Minyak, Ops Kutip, Ops Mahir serta Ops Pelantar, kelmarin dan semalam.

"Pasukan dari Unit Penguat Kuasa Cawangan Muar dan Cawangan Mersing melakukan serbuan di beberapa premis kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin hingga jam 7 malam semalam.

"Tindakan diambil susulan maklumat awam diterima mendakwa terdapat warga asing melanggar syarat pas di premis terbabit.

"Dalam operasi itu, seramai 80 warga asing diperiksa dan lapan daripada mereka ditahan membabitkan empat lelaki warga Bangladesh, dua lelaki Myanmar, seorang lelaki Nepal dan seorang lelaki Vietnam berusia antara 22 hingga 38 tahun. Lima notis hadir ke pejabat juga dikeluarkan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan, selain turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta 155.

Berita Harian X