Isnin, 15 Januari 2024 | 10:51am
Anggota BBP Sik melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kayu lapis di Kampung Charok Pasir. - Foto Ihsan Bomba
Anggota BBP Sik melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kayu lapis di Kampung Charok Pasir. - Foto Ihsan Bomba

Berpantang maut sebelum ajal

SIK: Berpantang maut sebelum ajal. Pemandu Perodua Myvi hanya cedera di kaki walaupun tersepit di bawah treler yang membawa muatan kayu lapis dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Charok Pasir, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 22 tahun beralamat di Kampung Bukit Hitam, Kuala Pegang itu dikeluarkan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik yang mengambil masa kira-kira satu jam di bawah timbunan kayu lapis itu.

Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu membabitkan treler yang membawa papan lapis, sebuah Proton Iswara dan Perodua Myvi pada jam 10.55 malam.

Beliau berkata, anggotanya berusaha mengeluarkan lelaki berusia 20-an yang tersepit di sebalik timbunan papan lapis di bawah lori berkenaan.

"Operasi penyelamatan dilakukan dengan berhati-hati disebabkan mangsa tersepit teruk dan kaki mangsa tersepit betul-betul di bawah treler berkenaan sehingga berlaku tumpahan minyak yang boleh mengundang bahaya.

"Anggota kami menghadapi cabaran bagi mengelak berlaku percikan api disebabkan papan lapis yang dibawa berkenaan nipis seperti kertas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, operasi memunggah timbunan kayu lapis itu turut dibantu jentera jengkaut dan proses mengeluarkan mangsa tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas hidraulik.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki dan berjaya distabilkan serta diberi rawatan awal oleh anggota EMRS BBP Sik.

"Operasi tamat pada jam 3.03 pagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dikatakan apabila Proton Iswara yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah Batu 5 ke Parit Panjang.

"Namun sebaik sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba kereta berkenaan memasuki laluan bertentangan menyebabkan treler yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan terus berlanggar Proton Iswara berkenaan sebelum treler itu terbabas ke sebelah kanan jalan.

"Berikutan kejadian itu, treler berkenaan melanggar Perodua Myvi yang berhenti di tepi jalan. Pmandu kereta Proton Iswara dan Perodua Myvi mengalami kecederaan dan masing-masing dihantar ke Hospital Baling dan Hospital Sik untuk menerima rawatan," katanya.

Berita Harian X