Sabtu, 13 Januari 2024 | 7:44pm

50 rumah pekerja di Penampang musnah

PENAMPANG: Sebanyak 50 rumah pekerja musnah dalam kebakaran di Jalan Penampang Baru, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan, berkata sepasukan 14 pegawai dan anggota bersama jentera dari BBP Penampang digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 4.52 petang.

Katanya, setiba di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan lima blok rumah pekerja yang mempunyai 10 pintu bagi setiap blok.

"Pasukan bomba memadamkan api menggunakan dua aliran, empat pancutan dengan sumber air dari pili bomba berhampiran.

"Operasi pemadaman turut dibantu BBP Kota Kinabalu yang menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan iaitu sumber air dari tangki jentera," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zeno berkata, operasi dapat dikawal pada jam 5.50 petang dan pemadaman bara api masih dijalankan.

Katanya, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Anggota bomba membuat pemantauan di lokasi kebakaran melibatkan lima buah blok rumah pekerja di Jalan Penampang Baru, Penampang, petang ini. NSTP/Mohd Adam Airin
Anggota bomba membuat pemantauan di lokasi kebakaran melibatkan lima buah blok rumah pekerja di Jalan Penampang Baru, Penampang, petang ini. NSTP/Mohd Adam Airin
Berita Harian X