Sabtu, 13 Januari 2024 | 8:22am
Tangkap layar video tular seorang lelaki kononnya putus tangan kanan dibaham harimau di belakang Balai Polis Bahau. - Foto tular
Tangkap layar video tular seorang lelaki kononnya putus tangan kanan dibaham harimau di belakang Balai Polis Bahau. - Foto tular

Bukan di Bahau, kejadian tangan lelaki dibaham harimau

JEMPOL: Polis menafikan video tular kononnya seorang lelaki putus tangan kanan dibaham harimau di belakang Balai Polis Bahau.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata tiada laporan kejadian seperti itu diterima pihaknya setakat ini.

Polis juga tidak menerima sebarang laporan kejadian jenayah sehingga menyebabkan putus tangan.

"Video lelaki putus tangan itu dipercayai berlaku di Indonesia akibat dibaham buaya dan bukan dibaham harimau, kononnya kejadian berlaku di belakang Balai Polis Bahau.

"Kita minta orang ramai tidak berkongsi apa-apa berita yang tidak dapat dipastikan kesahihan sehingga boleh menimbulkan kegusaran ramai," katanya ketika dihubungi.

Kecoh di media sosial apabila satu video dan mesej suara mengenai seorang lelaki putus tangan apabila dibaham harimau dengan kejadian didakwa berlaku di belakang Balai Polis Bahau.

Di Sarawak pula, sebuah portal berita melaporkan video itu mendakwa seorang lelaki menjadi mangsa serangan buaya namun disahkan bukan berlaku di Sarawak seperti didakwa.

Perkara itu disahkan Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerusi satu kenyataan yang menegaskan bahawa kejadian tersebut terjadi di Desa Delas, Kecamatan Air Gegas, Bangka Selatan, Indonesia.

Berita Harian X