Jumaat, 12 Januari 2024 | 3:23pm
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari.

Polis selesai siasat kes remaja pukul rakan enggan ponteng sekolah

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berkait insiden seorang pelajar cedera dipukul menggunakan helmet kerana enggan ponteng sekolah sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata pihaknya masih menunggu arahan untuk tindakan seterusnya daripada pihak TPR.

"Kertas siasatan sudah diserahkan kepada TPR. Kita masih menunggu arahan seterusnya " katanya selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan seorang pelajar berusia 14 tahun cedera dipukul gara-gara enggan ponteng sekolah, di tepi jalan Prima Pelangi, Segambut Dalam di sini, Jumaat lalu.

Suspek yang berusia 15 tahun memukul mangsa menggunakan topi keledar di muka dan dada.

Berikutan itu, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 15 tahun untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X