Jumaat, 12 Januari 2024 | 12:40pm
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengadakan sidang media kes samun bersenjata di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Sentul. - Foto Aizuddin Saad
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengadakan sidang media kes samun bersenjata di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Sentul. - Foto Aizuddin Saad

Dua beradik ditahan gores, patahkan 'emblem' kenderaan Hakim Persekutuan

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencabut 'emblem' atau lambang hakim daripada kenderaan rasmi seorang Hakim Persekutuan untuk dihadiahkan kepada abangnya, polis menahan dua remaja berusia 15 tahun untuk siasatan, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.05 malam, kenderaan itu diparkir di tepi jalan Taman Koperasi Polis Fasa Dua, Sentul di sini, Ahad lalu ketika pemandu hakim berkenaan berhenti untuk menunaikan solat Isyak di sebuah masjid berhampiran.

Berikutan itu, pemandu berusia 30 tahun itu tampil membuat satu laporan polis pada jam 1.25 pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata pengadu memaklumkan kereta rasmi Hakim Mahkamah Persekutuan digores dengan benda tajam dan nombor pendaftaran serta lambang 'hakim' dicabut.

"Hasil risikan dijalankan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Polis Daerah Sentul menahan dua beradik lelaki berusia 15 tahun untuk siasatan.

"Kedua-dua suspek yang juga pelajar Tingkatan Tiga itu ditahan di sebuah rumah di Batu Caves di sini, kira-kira jam 8.15 malam hari sama," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Susulan tangkapan itu, katanya, pihaknya turut merampas dua pakaian dan lambang hakim yang dicuri semasa kejadian

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek bertindak menconteng permukaan kereta hakim itu menggunakan sebiji batu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai bermain bola di padang yang berdekatan.

"Seorang daripadanya turut mengaku sengaja mematahkan lambang hakim di kereta terbabit kerana mahu menghadiahkan kepada abangnya yang mempunyai nama 'Hakim'," katanya.

Ahmad Sukarno menjelaskan kedua-dua suspek bukan saudara kembar namun mereka lahir pada tahun sama iaitu si abang lahir pada Mac dan si adik lahir pada Disember.

Tambahnya, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah dan selepas selesai soal siasat, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 kanun keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X