Jumaat, 12 Januari 2024 | 12:34pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Dua beradik curi lambang kereta hakim untuk dijadikan hadiah ditahan polis

KUALA LUMPUR: Dua beradik berusia 15 tahun ditahan polis pada Isnin lalu, selepas ditangkap mencabut lambang (emblem) 'Hakim' sebuah kenderaan rasmi Hakim Persekutuan untuk dihadiahkan kepada abang mereka.

Kejadian disedari berlaku jam 8.05 malam ketika kereta itu diparkir tepi jalan Taman Koperasi Polis Fasa Dua dekat Sentul di sini, Ahad lalu ketika pemandu hakim berkenaan berhenti untuk bersolat Isyak di masjid berhampiran.

Berikutan kejadian itu, pemandu berusia 30 tahun terbabit tampil membuat laporan polis pada jam 1.25 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata pengadu memaklumkan kereta rasmi Hakim Mahkamah Persekutuan digores benda tajam, manakala nombor pendaftaran serta lambang 'Hakim' pada kereta itu dicabut.

"Hasil risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Polis Daerah Sentul menahan dua beradik lelaki berusia 15 tahun untuk siasatan.

"Kedua-dua suspek yang juga pelajar tingkatan tiga itu ditahan di sebuah rumah dekat Batu Caves di sini kira-kira jam 8.15 malam hari sama," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Susulan dari tangkapan itu, katanya pihak polis turut merampas dua pakaian dan lambang hakim yang dicuri semasa kejadian

"Siasatan mendapati kedua-duanya bertindak menconteng permukaan kereta hakim itu menggunakan sebiji batu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai bermain bola di padang yang berdekatan.

"Seorang daripadanya turut mengaku sengaja mematahkan lambang hakim di kereta terbabit kerana mahu menghadiahkan kepada abangnya yang mempunyai nama 'Hakim'," katanya.

Ahmad Sukarno menjelaskan kedua-dua suspek bukan saudara kembar, sebaliknya lahir dalam tahun yang sama iaitu si abang lahir pada Mac dan si adik lahir pada Disember.

Tambahnya, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah dan selepas selesai soal siasat, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 kanun keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X