Khamis, 11 Januari 2024 | 5:33pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pengarah Pixelvest didakwa 17 kes ubah wang haram RM164.5 juta

KUALA LUMPUR: Pengarah Pixelvest Sdn Bhd (Pixelvest), Sophia Chin didakwa atas 17 pertuduhan membabitkan kesalahan pengubahan wang haram lebih RM164.5 juta di dua Mahkamah Sesyen berasingan hari ini.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) melalui kenyataan berkata, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) kerana menerima hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerima hasil haram itu dalam akaun bank peribadinya serta dalam beberapa syarikat di mana dia menjadi pengarah atau rakan kongsi.

Syarikat ini termasuk Pinetree Field Sdn Bhd, SC Wealth Planners Sdn Bhd, Quarters Venture Sdn Bhd, New Straits Venture Sdn Bhd dan Quarters Capital PLT.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 23 Disember 2020 dan 2 Oktober 2022 di Kuala Lumpur dan Selangor.

Tertuduh memohon dibicarakan untuk semua 17 pertuduhan.

Hakim Mahkamah Sesyen Datin Sabariah Othman membenarkan ikat jamin RM7 juta dengan dua penjamin, selain tertuduh diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Di mahkamah berasingan, Hakim Tuan Azrul bin Darus turut membenarkan Sophia Chin diikat jamin RM7 juta dengan seorang penjamin berserta syarat sama.

SC dalam pada itu berkata, pertuduhan terhadap Sophia Chin adalah kesinambungan tindakan penguatkuasaan pihaknya berhubung kes sama ke atas dua individu semalam.

Ia membabitkan 11 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM119 juta dihadapi bekas Pengarah Pixelvest, Ang Jen Chuen dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Infinity Trustee Sdn Bhd, Syaiful Riezal Ahmad mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA.

Berita Harian X