Rabu, 10 Januari 2024 | 8:19pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Bekas pengarah syarikat hadapi lapan tuduhan terima hasil wang haram lebih RM116juta

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lapan pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM116 juta.

Bagi empat pertuduhan, Ang Jen Chuen, 33, didakwa sebagai pengarah Syarikat Pixelvest Sdn Bhd (semasa kejadian), menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,430,812.43 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank milik syarikat tertuduh.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Berhad Kota Damansara, Affin Hwang Investment Bank Berhad Cawangan Taman Midah, Cheras dan AmInvestment Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, antara 1 Disember 2020 hingga 7 Julai 2022, mengikut Perenggan 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Bagi empat pertuduhan lagi, dia didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM553,749.18 dalam dua akaun bank miliknya iaitu HSBC dan Hong Leong di Kota Damansara dan Petaling Jaya, antara 30 Disember 2020 hingga 9 Januari 2023, mengikut akta sama.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Low Wen Zhen menawarkan jaminan RM11 juta dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan, berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC berdekatan sebulan sekali.

Peguam Farhan Read yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga serta isterinya tidak bekerja, selain mempunyai sebuah rumah di Kuala Lumpur yang kini dalam proses lelongan.

Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM8,010,000 (RM8.01 juta) secara bercagar dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwan dan menetapkan 26 Feb ini untuk sebutan kes.

Di mahkamah sama, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pelaburan Syaiful Riezal Ahmad, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM2 juta.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Syaiful Riezal, 51, didakwa sebagai pengawal kepada Infinity Trustee Berhad (ketika kejadian), telah menerima wang berjumlah RM2,184,956.86 yang merupakan hasil aktiviti haram dalam akaun semasa Public Bank dan akaun perdagangan milik syarikat itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank cawangan Bukit Damansara dan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd, Petaling Jaya antara 22 Februari 2021 dan 24 Jun 2022, mengikut akta sama.

Hakim Azrul yang menetapkan sebutan kes pada 26 Februari ini, membenarkan Syaiful Riezal diikat jamin RM100,000 secara bercagar dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC berhampiran sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SC Eunice Ong Jo Xing, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hisyam Hilmi Abd Rahman. – BERNAMA

Berita Harian X