Selasa, 9 Januari 2024 | 4:46pm
Bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menyeleweng 61,000 liter minyak diesel yang menyebabkan kerugian RM97,600 pada Februari tahun lalu. - foto NSTP/Ghazali Kori
Bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menyeleweng 61,000 liter minyak diesel yang menyebabkan kerugian RM97,600 pada Februari tahun lalu. - foto NSTP/Ghazali Kori

Kapten tak mengaku seleweng diesel kapal

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas kapten kapal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga tuduhan pecah amanah dengan menyeleweng 61,000 liter minyak diesel yang menyebabkan kerugian hampir RM100,000.

Tertuduh, Azli Mohd Noor, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh selaku yang diamanahkan menjaga kapal didakwa melakukan pecah amanah dengan menyeleweng 26,000 liter minyak diesel dan menyebabkan kerugian RM41,600.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sekitar perairan Kuala Terengganu pada 12 Februari 2023.

Tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama membabitkan 20,000 dan 15,000 lagi liter diesel dengan kerugian berjumlah RM32,000 dan RM24,000 pada 20 dan 25 Februari 2023.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 untuk semua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

Peniaga dituduh beli diesel kapal yang diseleweng

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, seorang peniaga, Teo Kok Chye, 52, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengambil dan menjual minyak diesel yang diseleweng itu.

Kok Chye didakwa memindahkan harta curi iaitu mengambil dan menjual 61,000 liter minyak diesel itu dari sebuah kapal yang diketahui sebagai harta curi pada Februari 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Anisha De Silva.

Berita Harian X