Selasa, 9 Januari 2024 | 12:47pm
- Foto hiasan mahkamah
- Foto hiasan mahkamah

Prosiding dakwa syarikat umrah, dua pengarah gagal patuhi perintah TTPM ditangguh kerana tertuduh dijangkiti COVID-19

PUTRAJAYA: Prosiding pendakwaan terhadap sebuah syarikat pengendali pakej umrah dan dua pengarahnya di Mahkamah Majistret hari ini ditangguhkan kepada Isnin depan, selepas tertuduh yang juga pasangan suami isteri dijangkiti COVID-19.

Syarikat umrah, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dan pengarahnya terdiri daripada Datuk Dr Zulkarnain Endut, 43, dan Datin Mazuin Mustafa, 43, masing-masing dijangka berdepan 21 tuduhan kerana gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) supaya membayar balik tuntutan wang RM589,031 kepada 21 mangsa.

Tarikh baharu itu ditetapkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria dan peguam bela pasangan berkenaan, Datuk Hanif Hassan, memaklumkan mengenai status kesihatan terkini tertuduh.

Terdahulu, Mohd Sophian berkata, pihaknya mengeluarkan saman kepada pihak terbabit pada 5 Januari lalu.

"Namun, kedua-dua pengarah berkenaan tidak dapat hadir untuk prosiding pertuduhan hari ini kerana positif COVID-19," katanya.

Hanif kemudian mengesahkan ketidakhadiran anak guam selaku orang kena saman (OKS) akibat COVID-19.

"Saya serahkan salinan paparan aplikasi MySejahtera (bukti anak guam dijangkiti COVID) kepada mahkamah.

"Zulkarnain dan Mazuin selesai menjalani kuarantin masing-masing pada 12 dan 11 Januari ini," katanya.

Media melaporkan lesen Emraz Travel & Tours Sdn Bhd digantung selama enam bulan berkuat kuasa hingga hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, dipetik berkata perkara itu diputuskan selaras Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

Pada 2 April tahun lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours sebagai langkah awal untuk melindungi kebajikan bakal jemaah haji susulan aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang ditawarkan syarikat terbabit.

Berita Harian X