Isnin, 8 Januari 2024 | 9:26pm
Tangkap layar daripada rakaman video menunjukkan penunggang motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, hari ini.
Tangkap layar daripada rakaman video menunjukkan penunggang motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, hari ini.

2 beranak tercampak, cedera motosikal dirempuh bas

KUANTAN: Seorang wanita bersama anaknya berusia lima tahun cedera selepas tercampak apabila motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan dengan sebuah bas di Jalan Kuantan-Pekan, di sini, hari ini.

Nahas kira-kira jam 12.50 tengah hari itu berlaku apabila motosikal berkenaan didakwa keluar dari simpang kiri dan terus memasuki lorong kanan laluan bas terbabit sehingga menyebabkannya dilanggar dari belakang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kejadian dilaporkan berlaku ketika bas tanpa penumpang itu dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dari arah Terengganu menghala ke Johor.

"Setiba di lokasi kejadian, ketika bas itu bergerak lurus di lorong kanan, motosikal terbabit dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang kiri dan terus bertukar ke lorong kanan laluan bas berkenaan.

"Pemandu bas dikatakan cuba mengelak tetapi disebabkan jarak terlalu dekat, bas itu melanggar motosikal terbabit.

"Akibat kemalangan itu, wanita berusia 43 tahun yang menunggang motosikal terbabit bersama anak lelakinya mengalami kecederaan. Dua beranak itu kemudian dibawa jentera pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 36 saat dalam media sosial yang menunjukkan seorang wanita dan kanak-kanak tercampak apabila motosikal ditunggang mereka dilanggar sebuah kenderaan dari belakang.

Berita Harian X