Isnin, 8 Januari 2024 | 7:58pm
Keadaan kereta Perodua Bezza yang terbalik selepas merempuh belakang sebuah lori dalam kemalangan di di KM115 PLUS arah selatan, dekat Yong Peng, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM
Keadaan kereta Perodua Bezza yang terbalik selepas merempuh belakang sebuah lori dalam kemalangan di di KM115 PLUS arah selatan, dekat Yong Peng, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

Kereta langgar lori, lelaki maut tercampak keluar dan dirempuh bas

BATU PAHAT: Seorang lelaki maut apabila tercampak keluar dari kereta dipandunya sebelum dirempuh bas ekspres, dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 115 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Yong Peng, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.10 pagi itu, pemandu Perodua Bezza berusia 25 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata insiden berlaku ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Yong Peng.

Setiba di lokasi kejadian, katanya, kereta dipandu mangsa dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang sebuah lori.

Akibat rempuhan itu, beliau berkata, kereta mangsa terbalik dan lelaki berkenaan tercampak keluar ke tengah jalan.

"Secara kebetulan, datang sebuah bas ekspres dari arah sama dan dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuhnya. Rempuhan itu menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

"Lori dipandu lelaki berusia 48 tahun pula terbabas ke bahu jalan kiri. Bagaimanapun, pemandunya dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, pemandu bas berusia 25 tahun serta 28 penumpang dibawanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mangsa berasal dari Bahau, Negeri Sembilan, dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Asma'i Md Yusoff, melalui talian 07-4327704." katanya.

Berita Harian X