Isnin, 8 Januari 2024 | 6:37pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Kecederaan kepala bayi maut dipercayai berlaku 1-3 minggu lalu

NILAI: Kecederaan di bahagian kepala seorang bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuh, Jumaat lalu, dipercayai adalah kesan dialami dalam tempoh satu hingga tiga minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata justeru sesiapa saja boleh menjadi suspek kes masih dalam siasatan itu.

"Beberapa individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes. Sesiapa pun boleh menjadi suspek kerana kesan kecederaan dialami bayi itu membabitkan tempoh satu hingga tiga minggu lalu.

"Keterangan pengasuh juga sudah diambil untuk siasatan lanjut. Hasil siasatan awal mendapati wanita berusia 20-an itu mula menjaga bayi terbabit sejak Disember lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau memaklumkan, pihaknya juga dalam proses mengambil keterangan beberapa lagi individu bagi melengkapkan siasatan.

Semalam, media melaporkan bayi terbabit dikatakan tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika menyusu botol.

Susulan kejadian kira-kira jam 8.30 pagi Jumaat lalu, bayi sedang dalam jagaan pengasuh itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Nilai tetapi tidak memberi respons ketika dirawat, sebelum disahkan meninggal dunia dengan terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita Harian X