Ahad, 7 Januari 2024 | 6:48pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bayi 4 bulan meninggal selepas menyusu di rumah penjaga

NILAI: Bayi lelaki berusia empat bulan tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika menyusu botol, sebelum disahkan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada kepala, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, bayi dalam jagaan pengasuh itu sempat dibawa ke Klinik Kesihatan (KK) Nilai, namun tidak memberikan tindak balas ketika dirawat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, polis dihubungi KK Nilai kira-kira jam 9.30 pagi memaklumkan kematian bayi lelaki itu yang dibawa seorang wanita yang juga penjaganya dari kawasan Rumah Rakyat Nilai, di sini.

"Siasatan awal mendapati wanita terbabit memberi bayi itu susu kira-kira jam 8.30 pagi sebelum meletakkannya secara mengiring di atas 'toto' (cadar tebal).

"Tidak lama selepas itu penjaga terbabit mendapati susu mengalir keluar dari mulut bayi terbabit," katanya.

Abdul Malik berkata, penjaga kemudian mengangkat bayi berkenaan dan menepuk belakangnya, sebelum meminta bantuan jiran untuk membawanya ke KK Nilai.

Bagaimanapun, katanya, tiada tindak balas ditunjukkan mangsa ketika diperiksa.

"Bedah siasat dijalankan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) kemudian mendapati punca kematian disebabkan kecederaan pada kepala, namun tiada sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh bayi.

"Sehingga kini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis," katanya.

Berita Harian X