Ahad, 7 Januari 2024 | 3:58pm
Polis menyerbu dua premis yang disyaki menjalankan penipuan pendaftaran kad prabayar di Seremban, 3 Januari lalu. - Foto ihsan polis
Polis menyerbu dua premis yang disyaki menjalankan penipuan pendaftaran kad prabayar di Seremban, 3 Januari lalu. - Foto ihsan polis

Sindiket kad prabayar bekal kad SIM kepada scammer

SEREMBAN: Satu sindiket kad prabayar yang beroperasi di daerah ini dipercayai membekalkan kad SIM kepada scammer dalam talian.

Sindiket ini juga dikatakan menjalankan kegiatan penipuan pendaftaran kad prabayar dengan menyasarkan pelanggan dari Hong Kong.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya menahan dua lelaki warga China dalam dua serbuan pada Rabu lalu.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Seremban menumpaskan sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar di Seremban, 3 Januari lalu.

"Melalui serbuan di dua lokasi di daerah ini, kami menahan dua suspek warga China serta merampas pelbagai peralatan yang digunakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara yang dirampas adalah 30 komputer riba, 17 telefon bimbit, 104 kotak kad SIM, 30 pemacu USB, 7,315 kad prabayar, empat modem internet dan tiga unit network switch.

"Siasatan mendapati sindiket ini terbabit dalam penipuan pendaftaran kad prabayar yang menyasarkan pelanggan di Hong Kong.

"Kumpulan ini juga disyaki berperanan sebagai pembekal kad prabayar secara dalam talian kepada ahli sindiket lain untuk digunakan bagi tujuan penipuan," katanya.

Berita Harian X