Ahad, 7 Januari 2024 | 12:28pm
Lapan kereta musnah dalam kebakaran sebuah pusat servis kenderaan di Jalan Segambut Selatan, Taman Segambut, di sini, hari ini. - Foto Bomba
Lapan kereta musnah dalam kebakaran sebuah pusat servis kenderaan di Jalan Segambut Selatan, Taman Segambut, di sini, hari ini. - Foto Bomba

Pusat servis kenderaan terbakar, lapan kereta hangus

KUALA LUMPUR: Lapan kereta musnah dalam kebakaran sebuah pusat servis kenderaan di Jalan Segambut Selatan, Taman Segambut, di sini, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan pada jam 8.08 pagi, menggerakkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul ke lokasi bagi memadam kebakaran.

Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan, berkata operasi memadam kebakaran turut dibantu pasukan dari BBP Jinjang dan BBP Hang Tuah dengan kekuatan seramai 27 anggota bersama tiga jentera dan 'water tanker'.

"Pasukan bomba pertama tiba di lokasi pada jam 8.16 pagi dan kebakaran didapati membabitkan sebuah bangunan kilang yang menempatkan pusat servis kenderaan.

"Premis yang terbakar berkeluasan 2,500 kaki persegi (232 meter persegi) dan kebakaran memusnahkan bilik penyimpanan alat ganti di tingkat satu serta bilik fail yang berada di tingkat dua dengan anggaran kemusnahan 100 peratus.

"Dalam pada itu, lapan kereta yang terdapat dalam bangunan berkenaan turut terbakar dengan kerosakan kira-kira 70 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian tidak membabitkan mangsa dan setakat ini, punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Berita Harian X