Sabtu, 6 Januari 2024 | 5:04pm
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (tiga kiri) bersama beberapa mangsa penipuan pelaburan sebuah koperasi pada sidang media hari ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (tiga kiri) bersama beberapa mangsa penipuan pelaburan sebuah koperasi pada sidang media hari ini.

Hutang bank gara-gara ditipu koperasi

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan kerajaan bukan sahaja berputih mata untuk mengaut keuntungan, malah terpaksa menanggung hutang RM100,000 bagi menebus barang kemas digadai pihak pengurusan koperasi.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Salina, 42, menyertai pelaburan dan kempen simpan emas dengan koperasi terbabit yang kemudiannya menggadaikan barang kemas berkenaan.

Salina berkata dia tertarik menyertai pelaburan dan kempen itu selepas melihat banyak produk serta bangunan yang tersergam di Kota Bahru, Kelantan.

"Saya menyertai koperasi itu dengan menjadi ahli pada 2019 sebelum ditawarkan menyertai kempen simpan emas dan pelbagai pakej pelaburan.

"Dengan latar belakang koperasi itu yang stabil, saya menyerahkan emas seberat 170 gram yang ketika itu bernilai RM33,000 bagi menyertai kempen berkenaan pada 2020.

"Malah, adik saya juga berminat untuk melaburkan emasnya menerusi saya sebagai ahli koperasi dengan nilai barang kemasnya kira-kira RM50,000," katanya ketika ditemui pada sidang media, di sini, hari ini.

Salina berkata, mengikut perjanjian, dia akan mendapat hibah RM1,000 yang dibayar dua kali setahun, namun tiada bayaran diterima selepas tempoh berkenaan.

"Saya dimaklumkan emas berkenaan sudah digadai dan terpaksa menanggung sendiri kos menyimpan barang kemas berkenaan di tempat pajak gadai.

"Setahun kemudian (2022), saya mendapat notis bahawa barang kemas itu mahu dilelong kerana sudah dua tahun disimpan di tempat pajak gadai berkenaan.

"Disebabkan tidak mahu kehilangan barang kemas itu, saya sanggup membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000 bagi mengambil semula emas berkenaan," katanya yang membuat laporan polis di Kota Bharu, Kelantan pada Julai 2022.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Cik Ngah, 66, berkata, dia menerima mesej menerusi WhatsApp menawarkan untuk menjadi ahli koperasi terbabit selain tawaran pelaburan patuh syariah pada 2019.

"Ketika itu, saya baru sahaja bersara sebagai kakitangan kerajaan dan menerima sejumlah wang ganjaran.

"Selepas membayar hutang, ada sedikit lebihan dan bercadang untuk melabur dalam pelaburan itu kerana ia berlandaskan Islam," katanya.

Menurutnya, dia melabur sebanyak RM77,000 dalam tiga pelaburan dan sempat menerima hibah sebanyak dua peratus iaitu hampir RM2,000 sebulan dalam tempoh 10 bulan.

"Pada peringkat awal, pembayaran hibah dibuat berjalan lancar dalam tempoh 10 bulan dan kemudian COVID-19 berlaku pada awal 2020.

"Mereka maklumkan perniagaan tidak berjalan lancar dan terpaksa menggantung pembayaran hibah selama enam bulan tetapi selepas tempoh itu, bayaran digantung lagi sehingga sekarang tidak diterima.

"Saya sedih dan marah kerana tertipu dengan pelaburan ini apabila janji hanya tinggal janji. Wang diperolehi ini 'hangus' begitu sahaja sedangkan ia bukan mudah nak kumpul," katanya.

Berita Harian X