Sabtu, 6 Januari 2024 | 3:48pm

Dibelasah sebab enggan ikut rakan ponteng sekolah

KUALA LUMPUR: Enggan mengikut rakan ponteng sekolah dipercayai punca seorang pelajar Tingkatan Tiga dibelasah di Jalan Prima Pelangi 7, Bukit Prima Pelangi, Segambut, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berhubung insiden itu pada jam 5.33 petang.

Susulan itu, beliau berkata, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 15 tahun pada jam 1.22 pagi tadi.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa tidak mahu mengikut suspek ponteng sekolah.

"Berikutan itu, suspek dikatakan tidak berpuas hati dan memaksa mangsa menaiki motosikal sebelum membawanya ke lokasi kejadian berhampiran sebuah kondominium di sini.

"Suspek kemudian didakwa memukul mangsa berkali-kali di bahagian muka dan dada dengan menggunakan helmet," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular satu klip video memaparkan seorang pelajar sekolah menengah berpakaian sukan sekolah sedang memukul seorang remaja dipercayai rakannya, sambil dirakam oleh individu lain.

Mengulas lanjut, Ahmad Sukarno berkata, pihaknya turut merampas sebuah helmet jenis MS88 yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 10 tahun, denda atau sebatan," katanya.

Berita Harian X