Rabu, 3 Januari 2024 | 9:07pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Anggota polis patah tangan dirempuh penjenayah lari sekatan jalan raya

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis cedera selepas sebuah kereta dinaiki dua suspek kes pecah rumah merempuh sekatan jalan raya di susur keluar Damansara Jaya, Lebuhraya SPRINT di sini, semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.06 malam ketika anggota polis lelaki berpangkat Koperal berusia 35 tahun itu sedang bertugas dalam sekatan jalan raya di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid, berkata siasatan mendapati ketika sekatan jalan raya dilakukan, sebuah kereta Perodua Myvi secara tiba-tiba memecut laju dan merempuh anggota polis terbabit.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu anggota polis berkenaan patah di bahagian tapak tangan kanan dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

"Sebuah kereta peronda polis (MPV) kemudian bertindak mengejar kenderaan suspek sejauh dua kilometer sehingga kenderaan itu terbabas sendiri di Seksyen 17/50 Petaling Jaya.

"Anggota polis berjaya menahan dua lelaki dalam kereta itu dan semakan mendapati kedua-duanya warga asing berusia lingkungan 35 tahun dan 45 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek dan kereta digunakan menemukan pelbagai mata wang asing berjumlah RM9,839.85 serta beberapa peralatan pecah rumah antaranya gerudi tangan, tukul, gunting, pemutar skru dan gergaji.

"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan semakan menunjukkan mereka tiada rekod jenayah lalu.

"Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 8 Januari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 (i) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki alatan pecah rumah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah atau individu mencurigakan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03- 79662222.

Berita Harian X