Selasa, 2 Januari 2024 | 10:26pm
Rakaman CCTV tular menunjukkan sebuah MPV merempuh motosikal di bahu jalan yang menyebabkan tiga cedera termasuk dua kanak-kanak.
Rakaman CCTV tular menunjukkan sebuah MPV merempuh motosikal di bahu jalan yang menyebabkan tiga cedera termasuk dua kanak-kanak.

3 termasuk 2 kanak-kanak cedera, MPV terbabas langgar 4 kenderaan

SUBANG: Tiga termasuk dua kanak-kanak cedera dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang terbabas di Jalan Kempas, Kampung Tengah, Puchong di sini, semalam.

Kejadian pada 6.28 petang itu turut tular di media sosial selepas kenderaan berkenaan merempuh tiga kenderaan lain yang diparkir di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata kemalangan membabitkan sebuah MPV, tiga motosikal dan sebuah pikap.

"Siasatan awal mendapati pemandu MPV dari Putra Heights menghala ke Kampung Kenangan, Batu 13. Ketika tiba di lokasi, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.

"Pemandu melanggar tiga motosikal dan sebuah pikap di bahu jalan. Seorang dewasa dan dua kanak-kanak yang berada di atas sebuah motosikal cedera.

"Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian tular di media sosial, hari ini.

Rakaman berdurasi 30 saat itu menunjukkan Proton Exora secara tiba-tiba terbabas melanggar motosikal dinaiki tiga mangsa yang sedang berhenti di bahu jalan.

Berita Harian X