Selasa, 2 Januari 2024 | 5:18pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melambai tangan kepada pihak media ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melambai tangan kepada pihak media ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA

Najib arah teruskan penerbitan bon IMTN: Saksi pegawai penyiasat

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan supaya bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) terbitan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) diteruskan walaupun Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya ia digantung.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, dalam keterangannya berkata Tuanku Mizan meminta Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail menandatangani resolusi pengarah bagi menggantung penerbitan bon berkenaan.

Shahrol Azral dan Ismee adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TIA yang ditubuhkan pada Februari 2009 dan dimiliki Menteri Besar Terengganu Diperbadankan, dengan Tuanku Mizan sebagai pemilik majoriti.

Menurut Nur Aida yang juga saksi ke-49 pendakwaan, perkara itu dimaklumkan kedua-dua pegawai kanan terbabit kepada Najib dalam satu pertemuan di rumah beliau (Najib) di Langgak Duta jam 8 malam, pada 22 Mei 2009, seperti yang diarahkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu yang turut dihadiri Jho Low, Najib kemudian memaklumkan kepada Shahrol Azral dan Ismee bahawa beliau akan berbincang dengan Tuanku Mizan.

Katanya, pada masa sama, Najib mengarahkan Shahrol Azral dan Ismee untuk meneruskan sahaja dengan penerbitan IMTN seperti yang dimeterai.

"Bertindak atas arahan Datuk Seri Najib, Datuk Shahrol Azral dan Tan Sri Ismee mengeluarkan satu resolusi pengarah TIA bagi meneruskan penerbitan bon IMTN. Kemudiannya, Datuk Shahrol Azral mengeluarkan surat bertarikh 27 Mei 2009 kepada AmInvestment untuk mengarahkan penerbitan bon diteruskan.

"Berdasarkan surat itu, AmInvestment meneruskan penerbitan bon IMTN berjumlah RM5 bilion. Pada 29 Mei 2009, AmInvestmentBank mengarahkan AmBank memindahkan wang berjumlah RM4,385,920,000 ke akaun TIA di RHB Islamic dan AmIslamic.

"Selepas terbitan bon IMTN selesai, Tuanku Mizan menitahkan satu 'oversight committee' (jawatankuasa penyelia) ditubuhkan bagi membincangkan isu penerbitan bon IMTN dan kedudukan Kerajaan Negeri Terengganu di dalam TIA," katanya.

Nur Aida berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Jun 2009 dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Timbalan Perdana Menteri ketika itu dimaklumkan mengenai titah dan pandangan Tuanku Mizan berhubung pinjaman IMTN yang tidak sepatutnya diterbitkan oleh TIA kerana banyak isu dan perkara belum dimuktamadkan.

Saksi itu berkata, pada 8 Julai 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Najib mengambil maklum dan bersetuju dengan cadangan beliau (Najib) untuk Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA.

Katanya, dengan persetujuan itu, Kementerian Kewangan memaklumkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu pada 16 Julai 2009 bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengambil alih TIA dan tindakan rasmi untuk mendapat persetujuan pemegang amanah perlu diambil segera sebelum proses pengambilalihan dilaksanakan.

"Pada 22 Julai 2009, Jemaah Menteri mengambil maklum mengenai Nota daripada Menteri Kewangan berkenaan langkah yang perlu diambil oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengambil alih TIA.

"Pada 29 Julai 2009, Jemaah Menteri mengambil maklum mengenai penubuhan Malaysia Investment Berhad dan dalam proses ini, nama TIA ditukarkan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan didaftarkan pada 25 September 2009.

"Pengambilalihan ini meletakkan 1MDB sebagai sebuah syarikat di bawah kawalan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada 11 Ogos 2009," katanya.

Sementara itu, Nur Aida memberitahu mahkamah, Najib mengeluarkan surat yang menyatakan tiada keperluan bagi Ketua Audit Negara mengaudit syarikat pelaburan strategik negara itu pada 22 Disember 2009.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) mencadangkan supaya dijalankan penelitian wajar (due diligence) terhadap 1MDB dan diaudit oleh Jabatan Audit Negara, tetapi Najib mengeluarkan surat menyatakan tiada keperluan bagi audit terhadap syarikat itu.

Saksi itu berkata, oleh kerana 1MDB perlu diaudit oleh Juruaudit Profesional Luar lantikan ahli lembaga pengarah, Lembaga Pengarah melantik firma audit profesional Ernst & Young untuk mengaudit penyata kewangan syarikat terbabit.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Januari ini.

Berita Harian X