Selasa, 2 Januari 2024 | 3:39pm
Letupan bunga api menyebabkan seorang lelaki maut, manakala rakannya parah dalam kejadian di sebuah pusat peranginan terkenal di Port Dickson, petang semalam. - Foto tular
Letupan bunga api menyebabkan seorang lelaki maut, manakala rakannya parah dalam kejadian di sebuah pusat peranginan terkenal di Port Dickson, petang semalam. - Foto tular

Kes letupan bunga api: JKKPNS siasat pengurusan hotel

PORT DICKSON: Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan (JKKPNS) mengeluarkan arahan kacau ganggu bagi kawasan kemalangan kes letupan serpihan bunga api di sebuah pusat peranginan terkenal di sini, dalam kejadian Ahad lalu.

JKKPNS dalam kenyataan, memaklumkan langkah itu bertujuan menjalankan siasatan lanjut terhadap pihak pengurusan hotel selain merampas beberapa dokumen berkaitan kerja yang dijalankan.

Menurut jabatan itu, menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Majikan mempunyai kawalan penuh terhadap sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

"Hal ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan terhadap pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan," kata kenyataan itu hari ini.

JKKPNS juga sudah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu.

"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa adalah pekerja syarikat yang dilantik untuk mengendalikan pemasangan bunga api bagi sambutan tahun baharu.

"Susulan daripada kejadian ini, JKKPNS merampas beberapa dokumen berkaitan kerja-kerja yang dijalankan bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun maut akibat cedera parah di muka dan badan selepas terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat letak kenderaan di hotel berkenaan.

Berita Harian X