Selasa, 2 Januari 2024 | 1:50pm

Kerani didakwa salah guna, palsu tandatangan cek lebih RM500,000

MUAR: Seorang kerani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyalah guna harta dan memalsukan tandatangan cek bernilai RM515,423 milik sebuah firma guaman, enam tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Bahiah Ghazali, 36, mengaku tidak bersalah sebaik empat pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Irwan Suianbon.

Mengikut pertuduhan pertama dan ketiga, wanita itu didakwa menyalah guna harta iaitu cek RHB Bank milik syarikat guaman berjumlah RM50,100 untuk kegunaan sendiri, pada 16 November 2018.

Pertuduhan kedua dan keempat pula, Nurul Bahiah didakwa menyalahgunakan serta memalsukan tandatangan Manjeet Kaur Syran Singh, 73, pada cek RHB Bank berjumlah RM465,423, antara 18 Mac hingga 24 Disember 2019.

Keempat-empat pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 403 dan Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 471 kanun sama dengan kesemua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad, Jalan Sulaiman di sini.

Seksyen 403 memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan manakala Seksyen 467, penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap kes serta mengenakan syarat tambahan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM40,000 untuk semua pertuduhan.

Susulan pengakuan tidak bersalah, mahkamah menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan semula, serahan dokumen dan juga lantikan peguam.

Pada 12 Disember lalu, suami tertuduh, Mohd Fairus Md Noor, 36, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini atas 10 pertuduhan menerima harta curi milik sebuah firma guaman bernilai lebih RM500,000, sejak 2008 hingga 2009.

Dia yang tidak mengaku salah, didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nurul Bahiah didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan salah guna harta dan palsukan tandatangan cek firma guaman bernilai RM515,423 kira-kira enam tahun lalu.
Nurul Bahiah didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan salah guna harta dan palsukan tandatangan cek firma guaman bernilai RM515,423 kira-kira enam tahun lalu.
Berita Harian X