Isnin, 1 Januari 2024 | 5:12pm
Letupan bunga api menyebabkan seorang lelaki maut, manakala rakannya parah dalam kejadian di sebuah pusat peranginan terkenal di Port Dickson, petang semalam. - Foto tular
Letupan bunga api menyebabkan seorang lelaki maut, manakala rakannya parah dalam kejadian di sebuah pusat peranginan terkenal di Port Dickson, petang semalam. - Foto tular

Lelaki maut terkena letupan bunga api di Port Dickson

PORT DICKSON: Seorang lelaki maut, manakala rakannya parah selepas terkena letupan bunga api di sebuah pusat peranginan terkenal di sini, petang semalam.

Mangsa berusia 40 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya berusia 39 tahun yang cedera parah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan akibat terkena serpihan letupan bunga api yang meletup.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata kejadian berlaku di bahagian bumbung atas bangunan tempat letak kenderaan sebuah pusat peranginan terkenal di Port Dickson.

"Ketika kejadian jam 12.30 tengah hari itu hanya terdapat pekerja yang ditugaskan untuk memasang bunga api bagi pertunjukan sempena malam Ambang Tahun Baharu 2024.

"Pihak polis menyeru orang ramai supaya tidak menularkan kes ini kerana ia boleh mengganggu siasatan. Kejadian yang berlaku masih dalam siasatan dan diharapkan orang ramai tidak memainkan isu atau menyebabkan salah faham masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidi berkata, kes masih disiasat dan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sebelum itu, tular video berdurasi 1.04 minit di media sosial menunjukkan letupan beberapa bunga api di atas sebuah bangunan.

Kedua-dua mangsa dipercayai beralamat di Kuala Lumpur dipercayai pekerja sebuah syarikat bunga api yang dalam persiapan bagi sambutan Tahun Baharu 2024.

Berita Harian X