Ahad, 31 Disember 2023 | 12:33pm

Kerani rugi lebih RM1.08 juta diperdaya 'pegawai polis'

JOHOR BAHRU: Seorang kerani wanita terpaksa berputih mata apabila wang miliknya berjumlah lebih RM1.08 juta lesap akibat dipedaya oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar, berkata pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun kelmarin, mendakwa menjadi mangsa penipuan menerusi panggilan telefon yang diterima daripada individu menyamar sebagai pegawai polis.

Beliau berkata, pengadu yang juga kerani syarikat swasta itu mendakwa menerima panggilan telefon itu pada awal November lalu yang mana pengadu diberitahu akaun banknya terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

"Individu itu menawarkan diri untuk membantu pengadu dan pengadu diarahkan untuk menyerahkan butiran

akaun bank yang dimilikinya termasuk akses kepada perbankan dalam talian.

"Butiran itu diberikan kepada suspek kononnya sementara siasatan polis dijalankan. Pengadu mengikut arahan suspek untuk memindahkan semua wang miliknya ke akaun bank yang diserahkan suspek.

"Pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas mendapati wang berjumlah RM1,086,350 miliknya dikeluarkan daripada akaun sebelum suspek gagal dihubungi," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Kumar berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat seorang lelaki tempatan yang juga warga emas berusia 70 tahun, semalam, mendakwa menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud.

Menurut beliau, pengadu yang juga pesara syarikat swasta itu memaklumkan ada menerima panggilan telefon daripada seorang individu pada September lalu.

"Pengadu mendakwa individu berkenan daripada sebuah syarikat yang menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat.

"Pada peringkat awal, pengadu cuba melabur dengan nilai yang kecil dan menerima keuntungan yang dijanjikan, menyebabkan pengadu percaya dengan skim pelaburan terbabit dan menambah pelaburan secara berperingkat sehingga berjumlah RM1,204,363.

"Pengadu menyedari dia ditipu selepas mendapati wang keuntungan atas pelaburannya tidak dapat dikeluarkan atas pelbagai alasan termasuk diarahkan membuat bayaran-bayaran lain," katanya.

Kumar berkata, kedua-dua kes yang membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM2,290,713 itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Kumar menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam urusan membabitkan transaksi kewangan.

"Orang ramai juga disarankan untuk mengikuti laman media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan Tiktok bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan modus operandi jenayah komersial.

"Orang ramai juga diseru untuk menggunakan perkhidmatan atas talian 'Semak Mule' sebelum membuat sebarang pembayaran serta muat turun aplikasi 'Whoscall' bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

"Sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek," pesannya.

Berita Harian X