Jumaat, 29 Disember 2023 | 12:28pm
Kemalangan membabitkan dua kereta yang terbabas ke dalam parit di Parit 8, Kampung Sungai Leman, hari ini. - Foto ihsan bomba
Kemalangan membabitkan dua kereta yang terbabas ke dalam parit di Parit 8, Kampung Sungai Leman, hari ini. - Foto ihsan bomba

Seorang maut, 5 cedera kereta terbabas dalam parit

SEKINCHAN: Seorang maut, manakala lima lagi cedera apabila kereta dinaiki enam mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan itu terbabas ke parit dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Parit 8, Kampung Sungai Leman, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 6.24 pagi tadi.

Susulan itu, beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, insiden berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Wira dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah Honda Civic ketika kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Sungai Besar menghala ke Sekinchan. Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kereta berkenaan terbabas ke parit sedalam kira-kira satu meter.

"Terdapat enam mangsa di dalam Proton Wira itu membabitkan masing-masing dua lelaki, wanita dan kanak-kanak perempuan. Dua lelaki berusia 50-an itu kemudian dibawa keluar anggota bomba dan orang awam, namun seorang daripadanya disahkan meninggal dunia pada jam 6.48 pagi.

"Masing-masing dua wanita dan kanak-kanak perempuan terbabit pula hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lelaki maut dilaporkan sebagai saudara kandung kepada pemandu Proton Wira itu, manakala empat lagi individu terbabit ialah isteri pemandu, dua kanak-kanak yang juga anak kepada mangsa terkorban, dan seorang remaja perempuan yang merupakan anak saudara kepada isteri pemandu.

"Bagaimanapun ketika pihak bomba tiba di lokasi kejadian, didapati tiada orang berada di dalam Honda Civic terbabit. Berdasarkan makluman orang awam, pemandu didakwa telah keluar dari kenderaan itu dan berlari ke seberang jalan lalu menghilangkan diri," katanya.

Berita Harian X