Rabu, 27 Disember 2023 | 9:17pm
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah motosikal yang terbakar hingga menyebabkan penunggangnya rentung di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun, petang tadi. - Foto NSTP/Foto ihsan bomba
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah motosikal yang terbakar hingga menyebabkan penunggangnya rentung di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun, petang tadi. - Foto NSTP/Foto ihsan bomba

Motosikal terbakar, penunggang rentung

CHANGLUN: Seorang penunggang motosikal ditemukan rentung selepas motosikal ditungganginya terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan sebuah stesen minyak di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menerima maklumat kejadian kemalangan itu jam 5.45 petang membabitkan sebuah lori dengan motosikal.

"Penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian dan maklumat lanjut berhubung kejadian ini akan dimaklumkan kemudian kerana masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 5.36 petang.

"Sepasukan lapan anggota dari BBP Bukit Kayu Hitam tiba di lokasi untuk melakukan penyelamatan.

"Pasukan Keluaran Operasi melaporkan berlaku kebakaran membabitkan sebuah motosikal akibat kemalangan dan mangsa dipercayai seorang lelaki ditemukan rentung dengan kesan melecur sebanyak 60 peratus dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian," katanya.

Zulkifli berkata, anggotanya kemudian melakukan pemadaman dari jentera bomba. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X