Rabu, 27 Disember 2023 | 1:19pm
Mohamad Zulfikar dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku bersalah melakukan khianat dan merosakkan kereta adiknya. NSTP/ Alias Abd Rani
Mohamad Zulfikar dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku bersalah melakukan khianat dan merosakkan kereta adiknya. NSTP/ Alias Abd Rani

Lelaki amuk rosakkan kereta adik didenda RM600

BATU PAHAT: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM600 terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah merosakkan barangan dalam rumah dan kereta adiknya dalam kejadian amuk di Parit Raja, bulan lalu.

Majistret Suhaila Shafi'uddin menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira pengakuan salah dibuat tertuduh, Mohamad Zulfikar Abd Hadi, 26, dengan mensabitkan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zulfikar yang juga bekerja kebun didakwa melakukan khianat dengan merosakkan kereta adiknya, Adam, 24, menggunakan kayu pada jam 3.30 petang, 25 November lalu.

Berikutan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga adik tertuduh membuat laporan polis selepas tertuduh mengamuk kerana berang ditegur ahli keluarganya.

Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa menendang pintu rumah, merosakkan barang dan membaling kayu ke arah kereta pengadu.

Sebelum itu, berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh dengan ahli keluarganya dan kemuncak apabila tertuduh naik angin lalu mengamuk.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala Mohamad Zulfikar tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk pengajaran kepadanya dan masyarakat supaya perkara ini tidak berulang, namun tertuduh ketika diberi peluang merayu memohon dikenakan hukuman penjara paling minimum atas kesalahan itu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM600 dan mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayarnya.

Berita Harian X