Rabu, 27 Disember 2023 | 12:28pm
Anggota APM Hulu Terengganu menangkap seekor ular tedung selar sepanjang empat meter dalam bilik tidur sebuah rumah warga emas dekat Kampung Sungai Ular
Anggota APM Hulu Terengganu menangkap seekor ular tedung selar sepanjang empat meter dalam bilik tidur sebuah rumah warga emas dekat Kampung Sungai Ular

Tedung selar empat meter dalam bilik tidur warga emas

KUALA BERANG: Seorang warga emas tidak menyangka bayangan seolah-olah seekor ular tedung selar sedang mengembangkan kepala adalah satu kenyataan apabila reptilia itu sebenarnya berada di dalam sebuah bilik di rumahnya.

Abdul Halim Muda, 67, dari Kampung Sungai Ular di sini, berkata pada mulanya dia menyangka hanya bayangan atau mainan perasaan sahaja.

Katanya, berikutan rasa curiga, dia meminta seorang anaknya memeriksa sebuah bilik tidur di rumah mereka, namun tidak menemui apa-apa.

"Namun, pemeriksaan terhadap sebuah lagi bilik tidur menemui reptilia itu sedang bersembunyi, kira-kira jam 6.50 petang.

"Bimbang keselamatan lapan lagi ahli keluarga, kami menghubungi bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang datang membantu menangkapnya," katanya.

Abdul Halim berkata, kejadian ini adalah kali keempat ular memasuki rumahnya, namun sebelum ini bukan dari spesies tedung selar.

"Alhamdulillah, mujur tergerak hati untuk meminta anak memeriksa bilik tidur kerana pada mulanya ingatkan bayangan sahaja, namun ia teryata betul," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hulu Terengganu, Kapten Mohd Zabri Abd Razak, berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.10 malam, sebelum lima anggotanya bergegas ke rumah berkenaan.

"Pasukan kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap reptilia terbabit yang berada di dalam salah sebuah bilik tidur.

"Buat masa ni ular sepanjang empat meter dan seberat 20 kilogram itu disimpan sementara di pejabat APM Daerah Hulu Terengganu sementara dilepaskan semula ke habitat asalnya dalam hutan jauh daripada perumahan," katanya.

Berita Harian X