Isnin, 25 Disember 2023 | 4:23pm
Lelaki ditahan AJK masjid sebelum diserahkan kepada polis kerana disyaki cuba mencuri wang dari tabung Masjid Ar Rahman, Kampung Kubang Batang di Tumpat, tengah malam tadi. - FOTO IHSAN PEMBACA
Lelaki ditahan AJK masjid sebelum diserahkan kepada polis kerana disyaki cuba mencuri wang dari tabung Masjid Ar Rahman, Kampung Kubang Batang di Tumpat, tengah malam tadi. - FOTO IHSAN PEMBACA

Alasan nak solat tahajud tapi 'mengail' duit tabung masjid

TUMPAT: Lelaki berjubah dan berkopiah dicekup ketika leka 'mengail' wang dari tabung masjid di Kampung Kubang Batang, di sini, tengah malam tadi.

Dia menggunakan batang besi yang dipasang pelekat sebelum memasukkannya ke dalam lubang tabung dan berjaya mengeluarkan beberapa helai wang kertas.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Masjid Ar-Rahman itu, lelaki berkenaan dilihat tiba kira-kira jam 12 tengah malam sebelum meletak kereta di ruang belakang perkarangan masjid.

Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan, Zulkifli Abdullah, 58, berkata suspek kemudian masuk ke dalam masjid dengan mengopak pintu yang berkunci sebelum terus mendekati tabung yang berada di ruang solat lelaki.

Tabung di Masjid Ar Rahman, Kampung Kubang Batang di Tumpat yang menjadi mangsa lelaki berusia 34 tahun, tengah malam tadi. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS
Tabung di Masjid Ar Rahman, Kampung Kubang Batang di Tumpat yang menjadi mangsa lelaki berusia 34 tahun, tengah malam tadi. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS

"Sebenarnya sudah banyak kali wang tabung pengurusan masjid ini dicuri. Setiap kali melihat rakaman CCTV, ia dilakukan orang dan pada waktu sama. Kejadian terakhir minggu lalu, jadi kami AJK masjid ambil keputusan buat persediaan dengan menunggu di bilik menempatkan monitor CCTV.

"Jangkaan kami tepat apabila melihat lelaki sama seperti dalam beberapa kejadian sebelum ini. Kami biarkan dia 'mengail' dengan batang besi yang dipasang pelekat itu sebelum menangkapnya," katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, hari ini.

Tabung di Masjid Ar Rahman, Kampung Kubang Batang di Tumpat yang menjadi mangsa lelaki berusia 34 tahun, tengah malam tadi. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS
Tabung di Masjid Ar Rahman, Kampung Kubang Batang di Tumpat yang menjadi mangsa lelaki berusia 34 tahun, tengah malam tadi. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS

Zulkifli berkata, lelaki berusia 34 tahun itu cuba melawan dan berlaku sedikit pergelutan ketika mahu ditangkap oleh lima AJK masjid, namun berjaya dikawal sebelum mereka menghubungi polis.

Katanya, hampir RM500 berjaya dikeluarkan lelaki itu dari tabung berkenaan dan berdasarkan pengakuan suspek, dia berjaya mengeluarkan sekitar jumlah sama dalam beberapa kecurian sebelum ini.

"Dia juga memberitahu sudah banyak kali singgah di masjid ini pada waktu malam, kenal beberapa jemaah sambil mendakwa hadir untuk solat tahajud. Lelaki itu beralamat di Melor, Kota Bharu dan ketika pergelutan, ada wang tunai agak banyak bersamanya yang didakwa wang perniagaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X