Ahad, 24 Disember 2023 | 3:33pm
Pasukan APM Hulu Terengganu dan penduduk bersama ular sawa sepanjang lebih enam meter yang ditangkap di Kampung Pelandan. - FOTO IHSAN APM
Pasukan APM Hulu Terengganu dan penduduk bersama ular sawa sepanjang lebih enam meter yang ditangkap di Kampung Pelandan. - FOTO IHSAN APM

Ular sawa 6 meter baham ayam

KUALA BERANG: Usai solat Subuh pagi tadi, hening pagi Fatimah Salleh terganggu dengan bunyi bising dan selepas diamati, ia datang kawasan reban ayam bersebelahan rumahnya di Kampung Pelandan, di sini.

Bunyi dari kawanan ayam ternakannya tidak berhenti, lantas mendorong wanita berusia 66 tahun ini keluar untuk memeriksa.

Dengan lampu suluh di tangan, dia bergegas ke kawasan reban ayam dan kemudian terkejut melihat ular sawa sedang membelit seekor ternakannya.

"Saya kemudian terus menghalau keluar kira-kira 20 ayam yang ada dalam reban itu. Selepas reban kosong, saya tutup pintunya ketika seekor ular sawa dianggar sepanjang enam meter masih berada di dalam.

"Saya meminta bantuan penduduk kampung sebelum mereka menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.

Dari awal mendengar bunyi bising itu, katanya, dia sudah mengesyaki ia angkara ular kerana pintu reban ayam itu terlupa untuk ditutup sebelah petangnya.

"Tapi saya tak sangka ular sebesar dan sepanjang itu masuk ke reban. Nasib baik hanya seekor ayam sempat dibahamnya," katanya.

Katanya, ular sawa berkenaan kemudikan ditangkap pasukan APM Hulu Terengganu yang tiba di lokasi.

Berita Harian X