Ahad, 24 Disember 2023 | 3:15pm
Mohamad Faris Hakimi Mohd Rosli, 24, yang lumpuh separuh badan diusung anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang di Kampung Kusar, di sini, hari ini.
Mohamad Faris Hakimi Mohd Rosli, 24, yang lumpuh separuh badan diusung anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang di Kampung Kusar, di sini, hari ini.

Tak sampai 24 jam pulang ke rumah, terpaksa kembali ke PPS

RANTAU PANJANG: Tidak sampai 24 jam mereka pulang ke rumah masing-masing, penduduk Kampung Kusar di sini, terpaksa kembali mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi.

Penduduk, Roslan Abdullah, 37, berkata mereka pulang ke rumah jam 5 petang semalam, selepas mendapati banjir di sekitar rumahnya surut sepenuhnya tetapi tidak menyangka malam tadi, air naik semula dengan mendadak.

Katanya, dia dan keluarga terpaksa menaiki lori bomba untuk keluar ke PPS apabila laluan ke rumah ditenggelami bah sedalam 0.7 meter.

"Saya sendiri tidak lena tidur malam tadi apabila dapati hujan sangat lebat, kerana sudah jangka banjir kembali melanda. Jangkaan saya tepat apabila bangun pagi ini, air sudah mencecah paras lutut di dalam rumah.

"Nasib baik, semalam saya mengambil keputusan pulang sendirian, manakala isteri, Asmawati Jusoh, 31, dan tiga anak ditinggalkan dulu di PPS dan merancang untuk membawa mereka pulang pada hari ini.

"Malah, barangan serta beg yang dibawa pulang juga belum sempat dibuka sebaliknyadibawa semula ke PPS," katanya ketika selepas di penempatanya di Kampung Kusar, di sini, hari ini.

Tinjauan ke kawasan itu mendapati, sebahagian kediaman penduduk sudah mula digenangi air dipercayai kerana limpahan Sungai Golok selepas Rantau Panjang menerima taburan hujan sejak malam tadi.

Sementara itu, Juliana Mat Zaik, 47, mengakui berasa sangat penat kerana tidak sempat berehat dengan baik dan secara tiba-tiba perlu kembali ke PPS.

"Rumah pun belum dibasuh sepenuhnya daripada kesan lumpur banjir baru-baru ini. Saya sendiri rasa bosan kerana sudah seminggu berada di PPS, tetapi apakan daya kediaman kami tidak selamat untuk didiami.

"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada semua pihak yang menguruskan PPS termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana menjaga makan serta minum mangsa banjir dengan baik," katanya yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok, di sini, hari ini.

Berita Harian X