Sabtu, 23 Disember 2023 | 8:50pm
Ular tedung selar yang ditemui pada rak dapur rumah penduduk di Kampung Tanjung Besar sebelum berjaya ditangkap dengan bantuan anggota BBP Sik. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Ular tedung selar yang ditemui pada rak dapur rumah penduduk di Kampung Tanjung Besar sebelum berjaya ditangkap dengan bantuan anggota BBP Sik. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Ular tedung selar sembunyi di rak dapur kejutkan penduduk

SIK: Bunyi dengusan di bahagian rak dapur sebuah rumah penduduk di Kampung Tanjung Besar, di sini membawa penemuan seekor ular tedung selar yang 'bersembunyi' di situ.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kehadiran ular tedung selar sepanjang lebih empat meter itu pada jam 1.45 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shahril Salleh bersama tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati ular tedung selar itu sedang 'berehat' di rak dapur rumah penduduk berkenaan.

"Anggota kami cuba menangkap reptilia itu menggunakan peralatan khas penjerut ular namun ia bertindak agresif serta cuba menyerang anggota kami.

"Bagaimanapun, ular tedung selar itu berjaya ditangkap kira-kira 10 minit kemudian menggunakan kepakaran anggota kami," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, ular tedung selar antara reptilia paling berbisa dan berbahaya kepada manusia kerana boleh mengundang maut.

Berita Harian X