Sabtu, 23 Disember 2023 | 7:48pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Remaja disambar buaya ketika memancing

KUCHING : Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas disambar buaya di sungai di Samariang, di sini, hari ini.

Sumber berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa Mohd Fakhrul Zaini, 15, bersama tiga rakannya turun ke sungai untuk melepaskan jala yang tersangkut.

Menurutnya, pada mulanya mangsa memancing di tebing sungai manakala rakannya menjala.

"Apabila jala tersangkut, mangsa membantu rakannya untuk melepaskan jala itu dan ketika itulah buaya menyambarnya.

"Selepas disambar, reptilia itu mengheret mangsa ke hulu sungai," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.27 petang selepas menerima panggilan

daripada rakan mangsa.

"Sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Petra Jaya) dikejarkan ke lokasi di Bandar Baru Samariang sebaik menerima panggilan itu.

"Kejadian itu disaksikan rakannya namun mereka tidak mampu membantunya," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada jam 7 malam berikutan keadaan gelap

dan pencarian akan diteruskan esok.

Berita Harian X