Sabtu, 23 Disember 2023 | 6:17pm
Suasana di sekitar Menara Ilham di Jalan Binjai selepas SPRM menyita bangunan itu pada Isnin lalu. - Foto NSTP
Suasana di sekitar Menara Ilham di Jalan Binjai selepas SPRM menyita bangunan itu pada Isnin lalu. - Foto NSTP

Sita Menara Ilham, elak ganggu siasatan SPRM

KUALA LUMPUR: Tindakan menyita Menara Ilham milik keluarga seorang bekas menteri adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, antara tindakan yang boleh mengganggu siasatan seperti penjualan bangunan pencakar langit itu.

"Siasatan masih berjalan dan perkara (notis sita Menara Ilham) yang dilakukan itu adalah perkara biasa," katanya kepada BH hari ini.

Beliau turut mengesahkan, setakat ini agensi itu masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kes berprofil tinggi yang disiasat atas kesalahan rasuah dan penggubahan wang haram.

"Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009," katanya yang enggan mengulas lanjut siasatan berhubung siasatan itu.

Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini, yang dikatakan milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, disita SPRM.

Kelmarin, BH melaporkan notis penyitaan bangunan setinggi 60 tingkat itu bertarikh 18 Disember lalu disiarkan hari ini melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita, dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.

Ia ditujukan kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

Azam sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan itu bertumpu pada Seksyen 23 Akta SPRM 2009, berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.

Menara Ilham difahamkan mempunyai ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cendera mata, manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen.

Ia siap dibina pada 2015 juga dikenali sebagai Menara IB, singkatan kepada Ilham Baru.

Berita Harian X