Sabtu, 23 Disember 2023 | 11:14am
Anggota APM dipanggil bagi membantu mengeluarkan seekor ular sawa yang menyorok dalam komponen enjin kereta di Pantai Belimbing, Alor Gajah semalam. - Foto APM Alor Gajah
Anggota APM dipanggil bagi membantu mengeluarkan seekor ular sawa yang menyorok dalam komponen enjin kereta di Pantai Belimbing, Alor Gajah semalam. - Foto APM Alor Gajah

Ular sawa seberat 20kg dalam bonet kereta

ALOR GAJAH: Ular sawa sepanjang empat meter dengan berat kira-kira 20 kilogram ditemukan 'menyorok' dalam bahagian enjin sebuah kereta Proton Wira di Kampung Pantai Belimbing, di sini, semalam.

Pemilik kenderaan, Zaini Syawa, 54, berkata kejadian disedari kira-kira 8 pagi ketika mahu memeriksa bateri untuk menghidupkan enjin kereta yang di parkir di garaj rumah dengan menggunakan kabel 'jumper'.

@bharianmy Ular sawa seberat 20kg dalam bonet kereta #BeritaDiTikTok ♬ original sound - Berita Harian

Katanya, kereta terbabit sudah setahun tidak digunakan kerana dia menunggang motosikal dan mempunyai sebuah kereta lain untuk ke tempat kerja di sebuah kuari berdekatan.

"Buka saja bonet kereta saya terkejut melihat ular sawa batik berlingkar sebelum terus menghempaskan pintu bonet sebelum berlari ke rumah rakan berdekatan untuk meminta bantuan.

- Foto APM Alor Gajah
- Foto APM Alor Gajah

"Rakan saya kemudian menelefon Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah yang berjaya mengeluarkan ular sawa itu dalam masa kira-kira sejam.

"Mulanya saya ingatkan kucing tidur dan mungkin ular itu datang dari kawasan sawah padi di belakang rumah," katanya dihubungi sebentar tadi.

Zaini berkata, kejadian itu pertama kali berlaku dan dia mengesyaki ular sawa itu mahu memakan itik peliharaan jirannya yang sebelum ini beberapa kali terserempak reptilia itu di kawasan reban.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom, berkata tiga anggotanya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi jam 8.50 pagi, anggota kami menemukan seekor ular sawa batik sepanjang empat meter berlingkar di bahagian enjin dalam bonet.

"Walaupun ular sawa itu agak agresif, namun berjaya ditangkap dalam masa hampir sejam dan dibawa balik ke PDPA Alor Gajah untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X