Rabu, 20 Disember 2023 | 12:57pm
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan (tengah) menunjukkan beg galas digunakan bagi mengisi ganja lebih 10kg yang dirampas susulan penahanan dua lelaki di RTC Napoh, kelmarin. - STR/ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan (tengah) menunjukkan beg galas digunakan bagi mengisi ganja lebih 10kg yang dirampas susulan penahanan dua lelaki di RTC Napoh, kelmarin. - STR/ZULIATY ZULKIFFLI

Beg galas isi 10kg ganja

JITRA: Beg galas ada 10 kilogram (kg) ganja.

Bahan terlarang itu ditemukan selepas polis menahan seorang lelaki Thailand berusia lingkungan 30-an sebelum memeriksa beg galas dibawanya dan menemukan 10 ketulan mampat disyaki ganja yang dianggarkan seberat 10,256 gram (10kg).

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata ia hasil serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah di kawasan parkir kenderaan di RTC Napoh, di sini, kira-kira jam 4.45 petang kelmarin.

Selain lelaki dari negara jiran itu, serbuan hasil maklumat dan risikan yang dilakukan juga menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun dari Gemas, Negeri Sembilan.

"Mereka dipercayai pengedar dadah dan kita masih menyiasat kemungkinan mereka mengambil dadah itu untuk diedarkan kepada sindiket tertentu. Lelaki Thailand tiada rekod jenayah, tetapi suspek tempatan ada enam rekod jenayah.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif methampetamine," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini hari ini.

Rodzi berkata, pihaknya percaya bekalan dadah itu dibawa masuk ke negara ini melalui lorong tikus dari negara jiran, malah pemeriksaan yang dilakukan mendapati suspek warga Thailand itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

"Dadah dirampas dianggarkan bernilai RM33,000. Kita turut merampas dua motosikal jenis Honda RS150 dan kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 25 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kita juga masih menjalankan siasatan berapa lama mereka terbabit dalam kegiatan ini," katanya memaklumkan dadah dirampas dalam sebruan itu boleh digunakan oleh 4,000 penagih.

Berita Harian X