Selasa, 19 Disember 2023 | 1:07pm
Laporan BH Online pada 5 Disember mengenai nahas meragut nyawa bayi, Wan Sabeena Arisha Wan Sharizat Azwan, disusuli pemergian bapanya, Wan Sharizat Azwan Wan Shahril Anwar lapan hari kemudian. Gambar kiri, Nur Hasifah Razni.
Laporan BH Online pada 5 Disember mengenai nahas meragut nyawa bayi, Wan Sabeena Arisha Wan Sharizat Azwan, disusuli pemergian bapanya, Wan Sharizat Azwan Wan Shahril Anwar lapan hari kemudian. Gambar kiri, Nur Hasifah Razni.

Bayi rentung, suami meninggal, Hasifah kerap terjaga jam 4 pagi

KOTA BHARU: "Sehingga kini saya masih trauma, kerap terjaga jam 4 pagi iaitu waktu tragedi mengorbankan bayi perempuan kami dalam kemalangan hujung bulan lalu," kata Nur Hasifah Razni, 25.

Dalam kejadian pagi 27 November itu, Wan Sabeena Arisha Wan Sharizat Azwan yang berusia tujuh bulan, rentung selepas kenderaan dinaiki bersama ibu dan bapanya melanggar tiang lampu sebelum terbakar di hadapan sebuah bank di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini.

Suami Nur Hasifah, Wan Sharizat Azwan Wan Shahril Anwar, 28, turut menghembuskan nafas terakhir selepas lapan hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini akibat melecur dan cedera parah organ dalaman.

Menurut Nur Hasifah, 25, dia kini trauma menaiki kereta dalam tempoh lama, malah takut walaupun kenderaan hanya terlanggar lubang kerana terbayang kemalangan dialaminya bersama arwah suami dan bayi mereka.

"Pada awal selepas kejadian, memang saya tertekan dan masih terbayang-bayang keletah bayi perempuan kami yang baru saja boleh meniarap ketika itu. Tidur juga sering terganggu, kerap terjaga jam 4 pagi, waktu sama kemalangan tiga minggu lalu, saya kemudian saya menangis," katanya.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapang, di sini hari ini, Nur Hasifah berkata, masih kedengaran kata-kata suaminya yang meminta maaf berkali-kali selepas gagal menyelamatkan bayi mereka.

Dalam keadaan suami yang turut parah dan melecur seluruh tubuh ketika memasuki ambulans, katanya, arwah menafikan mengantuk, sebaliknya keadaan jalan gelap tanpa sebarang papan tanda menyebabkan kenderaan mereka terlanggar pembahagi jalan sebelum terbabas.

"Ketika menerima rawatan di HRPZ II, suami terus ditidurkan. Saya tak berhenti berdoa supaya ada keajaiban meskipun tiada perkembangan positif. Sehari demi sehari, keadaan suami makin kritikal dan akhirnya pagi 5 Disember lalu, dia menghembuskan nafas terakhir dan saya reda.

"Sebulan sebelum kejadian, suami ada bertanya bagaimana jika suatu hari nanti dia sudah tiada dan tidak sempat membesarkan anak kami. Saya memarahinya dan rupanya kata-kata itu menjadi kenyataan, saya bukan sahaja kehilangannya, tapi satu-satunya tanda cinta kami iaitu bayi perempuan kami," katanya.

Terdahulu, Nur Hasifah dikunjungi Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob yang menyerahkan pencen penakat RM546.98 sebulan sepanjang hidup kerana arwah suaminya yang bekerja di kedai perkakas plastik pencarum PERKESO yang memenuhi kelayakan caruman.

"Balu ini juga sudah menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 yang sudah pun dikreditkan ke akaunnya," katanya.

Berita Harian X