Isnin, 18 Disember 2023 | 2:02pm

Tanah runtuh: Penghuni tak pindah kerana masalah kewangan

SERDANG: Sebuah keluarga yang tinggal di deretan sama sembilan rumah di Jalan Wawasan 3/9 Taman Wawasan, Puchong di sini yang terjejas kerana tanah runtuh terpaksa terus tinggal di situ tanpa bekalan air.

Low Mee Yeng, 69, berkata beliau bersama suami serta dua anak mempunyai masalah kewangan menyebabkan tidak dapat berpindah walaupun ada arahan pihak berkuasa.

Beliau berkata, buat sementara waktu, keluarganya akan terus tinggal di kediaman mereka sehinggalah menerima arahan lanjut dari pihak berkuasa.

"Selepas kejadian itu, kami dinasihatkan berpindah walaupun rumah tidak terjejas, dan jiran-jiran bersebelahan sudah berpindah ke rumah keluarga terdekat masing-masing.

"Saya dan keluarga ada masalah kewangan sebab itu kami tidak berpindah buat masa ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, keluarganya bergantung kepada bekalan air di tangki simpanan air kediamannya yang makin menyusut.

Untuk bekalan elektrik, beliau berkata buat masa ini bekalan sudah pulih.

Mee Yeng berkata, walaupun risau akan berlaku tanah runtuh susulan namun tidak mempunyai pilihan, selain terus tinggal di situ.

"Jika pihak berkuasa bagi arahan wajib berpindah, kami tiada pilihan selain berpindah," katanya.

Sementara itu, seorang pemilik yang kediamannya terjejas, Lai Seow Yik, 48, berkata beliau berharap kerja pembaikan cerun yang mula dijalankan semalam akan dapat diselesaikan dengan segera agar dapat pulang semula.

Beliau yang bekerja sebagai jurujual memaklumkan ketika kejadian, beliau berada di China atas urusan kerja dan baru kembali semalam.

"Saya dapat panggilan daripada pihak bomba memaklumkan tentang kejadian ini dan berasa agak terkejut. Saya terus pulang ke Malaysia, semalam dan pada hari ini saya saya ambil kesempatan untuk lihat keadaan rumah dan ambil barang peribadi.

"Buat masa ini saya menumpang sementara rumah seorang rakan dan menunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa. Saya berharap kerja membaiki cerun dapat dijalankan dengan baik," katanya menetap di situ bersendirian sejak 20 tahun lalu.

Berita Harian X