Isnin, 18 Disember 2023 | 12:46pm
Jasmine Loo Ai Swan (kiri) dan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Jasmine Loo Ai Swan (kiri) dan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Kes 1MDB: Pendakwa cadang panggil Jasmine Loo

KUALA LUMPUR: Pendakwaan bercadang memanggil bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan untuk memberikan keterangan sebagai saksi dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik itu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, dan menurutnya ini susulan kenyataan saksi pendakwaan ke-48, iaitu Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min.

Katanya, kenyataan Wei Min itu membuka 'jurang' dalam kes menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada prosiding sebelum ini, Wei Min bersetuju dengan cadangan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa Jasmine akan menjadi saksi penting yang boleh mendedahkan isu berkaitan Tanore Finance Corporation, iaitu entiti yang didakwa memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun bank Najib.

Bagi kes pendakwaan, Tanore dikawal oleh ahli perniagaan Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Dalam keterangannya juga, Wei Min berkata, Jasmine dan beberapa bekas pegawai 1MDB bertemu Jho Low di China lima tahun lalu.

Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki, ditahan polis pada 7 Julai lalu selepas pulang ke tanah air.

Menurut Wei Min, perkara itu diberitahu kepadanya oleh Jasmine ketika menyoal siasat wanita itu pada Ogos dan September lalu.

Wei Min berkata, Jasmine boleh dianggap sebagai pembantu peribadi Jho Low dan turut bersetuju dengan peguam bela bahawa wanita itu boleh menyelamatkan Najib atau disabitkan dengan tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Mengikut kes pendakwaan, Fasa Tanore merujuk kepada fasa pertama, iaitu RM2.081 bilion dikreditkan ke akaun Najib menerusi AmPrivate Banking – MR daripada akaun Falcon Private Bank, Singapura atas nama Tanore Finance Corp, di antara 21 Mac dan 10 April 2013, dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Global Investment Limited.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah selesai mendengar keterangan saksi ke-47 pendakwaan, Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan yang bertanggungjawab menyediakan laporan jejak aliran wang 1MDB.

Muhammad Shafee kemudian memaklumkan mahkamah, beliau perlu menyoal balas bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir, selepas mahkamah selesai mendengar keterangan saksi akhir iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Superintendan Kanan Nur Aida Arifin.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Lawrence Sequerah bersambung 2 Januari ini.

Najib hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto BH/HAIRUL ANUAR RAHIM
Najib hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto BH/HAIRUL ANUAR RAHIM

Berita Harian X