Isnin, 18 Disember 2023 | 8:24am
Nahas 3 kenderaan di Tanjong Karang menyebabkan Norsyam Nasullah Rahim maut, manakala lapan cedera.- FOTO IHSAN BOMBA
Nahas 3 kenderaan di Tanjong Karang menyebabkan Norsyam Nasullah Rahim maut, manakala lapan cedera.- FOTO IHSAN BOMBA

Wanita maut kereta terbabas di Sekinchan, lelaki korban nahas 3 kenderaan

SEKINCHAN: Seorang wanita maut dalam kemalangan jalan raya dekat Sungai Nibong, di sini, selepas kereta dinaikinya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penutup longkang simen, kira-kira jam 5.50 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata wanita berusia 40-an meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat lagi penumpang berusia 10 tahun hingga 30-an cedera.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.58 pagi anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dan Sekinchan dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penutup longkang simen," katanya hari ini.

Wanita maut selepas kereta dinaikinya kemalangan di Sungai Nibong, Sekinchan, pagi tadi. - Foto BOMBA
Wanita maut selepas kereta dinaikinya kemalangan di Sungai Nibong, Sekinchan, pagi tadi. - Foto BOMBA

Di TANJONG KARANG, seorang lelaki, Norsyam Nasullah Rahim, 23, maut, manakala lapan cedera dalam nahas tiga kenderaan di Batu 3, Jalan Bernam, kira-kira jam 10 malam tadi.

Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan, 10.05 malam sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi.

"Menurut laporan awal, nahas membabitkan Perodua Bezza, Nissan Almera dan Honda City. Semua mangsa cedera dibantu orang awam sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi dan memaklumkan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X