Ahad, 17 Disember 2023 | 10:46am
Operasi SAR digerakkan Jabatan Perhutanan Negeri Johor, polis, bomba, RELA dan malim gunung di Gunung Panti. - Foto JABATAN PERHUTANAN NEGERI JOHOR
Operasi SAR digerakkan Jabatan Perhutanan Negeri Johor, polis, bomba, RELA dan malim gunung di Gunung Panti. - Foto JABATAN PERHUTANAN NEGERI JOHOR

2 pendaki sesat di Gunung Panti

KOTA TINGGI: Dua rakan ditemukan selamat selepas dilaporkan sesat hampir empat jam ketika mendaki Gunung Panti, di sini petang semalam.

Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Datuk Salim Aman, berkata pendaki lelaki dan wanita berusia lingkungan awal 20-an warga tempatan itu menyedari mereka tersesat dan terkeluar daripada trek pendakian ketika dalam perjalanan turun dari gunung berkenaan.

Beliau berkata, laporan dibuat sendiri mangsa menerusi panggilan telefon ke Balai Polis Batu Ampat, kira-kira jam 6.50 petang sebelum aduan disalurkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Johor pada jam 7 petang.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian giat dilaksanakan bermula jam 7.40 malam, disertai 25 anggota Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Balai Polis Batu Ampat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Tinggi, Jabatan Sukarelawan (RELA) serta Malim Gunung Perhutanan (MGP).

"Mangsa berjaya ditemui pada jam 10.20 malam dari Hutan Simpan Panti sebelum dibawa keluar menggunakan kenderaan polis dan terus ke balai polis bagi rakaman percakapan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, keadaan dua pendaki terbabit yang tidak mempunyai dokumen permit memasuki hutan simpan serta tanpa kawalan jurupandu atau MGP, sihat tanpa sebarang kenderaan serius dan mereka turut memberi keterangan insiden itu kepada polis.

Jabatan Perhutanan Negeri Johor pada 28 November lalu mengumumkan penutupan trek pendakian Gunung Panti bermula 1 Disember 2023.

"Jabatan akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1995 Negeri Johor kerana memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk masuk hutan atau mendaki supaya mematuhi larangan penutupan trek pendakian di musim tengkujuh atas faktor keselamatan diri dan ketenteraman awam.

Berita Harian X