Sabtu, 16 Disember 2023 | 2:52pm
Pasukan bomba mengeluarkan dua lelaki yang tersepit dalam kereta sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia dekat Kepala Batas, pagi tadi. - Foto BOMBA
Pasukan bomba mengeluarkan dua lelaki yang tersepit dalam kereta sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia dekat Kepala Batas, pagi tadi. - Foto BOMBA

Polis tahan pemandu sebabkan kemalangan maut

KEPALA BATAS: Polis menahan seorang lelaki yang memandu kereta BMW bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan dua guru di Jalan Permatang Baru, di sini, awal pagi tadi.

Lelaki berusia 46 tahun itu dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Pemangku Ketua Polis Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad, berkata hasil soal siasat mendapati kemalangan jam 2.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila pemandu BMW hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dinaiki dua guru terbabit.

"Kereta BMW yang dipandu lelaki warga tempatan dari arah Sungai Lokan, Butterworth menghala Kepala Batas dan PERODUA Myvi dari arah bertentangan.

"Pemandu PERODUA Myvi meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Salawati berkata, hasil ujian pernafasan ke atas pemandu BMW mendapati paras kandungan alkohol melebihi tahap yang dibenarkan.

"Pemandu itu dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman,"

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Hafizi Mohamad di talian 011-26967676," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X