Sabtu, 16 Disember 2023 | 10:10am
Pasukan bomba dan penyelamat mengeluarkan dua lelaki tersepit dalam kereta, sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Sungai Lokan, Kepala Batas. - Foto BOMBA
Pasukan bomba dan penyelamat mengeluarkan dua lelaki tersepit dalam kereta, sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Sungai Lokan, Kepala Batas. - Foto BOMBA

Dua maut kemalangan jalan raya di Kepala Batas

KEPALA BATAS: Dua lelaki maut dalam nahas dua kereta di Jalan Sungai Lokan, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32 dan Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31 meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas menerima panggilan jam 2.41 pagi berhubung kemalangan itu.

Katanya, anggota bomba mendapati berlaku pelanggaran di antara kereta BMW dan PERODUA Myvi.

"Kemalangan itu mengakibatkan dua mangsa yang menaiki PERODUA Myvi tersepit, manakala pemandu BMW keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat.

"Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mereka berdua disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang tiba di tempat kejadian.

"Pemandu BMW berusia 46 tahun tidak cedera," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Berita Harian X